Sumber Cerita : Dipetik dan disesuaikan daripada buku Koleksi Cerita Dongeng Sedunia, terbitan Pustake Sistem Pelajaran Sdn Bhd, 1996.
Rakaman murid-murid dari Sekolah Rendah Loyang :
Pencerita: Nurul Nabilah bte Zulkefly ; Tok Penghulu: Muhd Hasbi Bin Ahmad
;
Hugo: Md. Ariff Bin Jalil
Dengan kerjasama Cikgu Milahwati Hussain
Ilustrasi : Encik Lee Tian Soon
Audio : Zainudin Zainal
GERGASI YANG PENYAYANG
Hugo ialah seorang gergasi yang baru pindah ke Kampung Katek. Pada suatu hari, penghulu kampung itu datang berjumpa dengannya.
Penghulu :
Hugo, janganlah kamu tinggal di sini. Orang-orang kampung sangat takut dengan kamu.
Hugo :
Tetapi Tok, saya hanya ingin berkawan dengan mereka.
Penghulu :
Tidak perlulah. Saya rasa baik kamu tinggalkan sahaja kampung ini.
Hugo sedih mendengar kata-kata Tok Penghulu. Dia pun membuat keputusan untuk balik ke kampung asalnya. Beberapa bulan kemudian…
Penghulu :
Sudah tiga bulan kampung kita ini tidak ada hujan. Semua tanaman sudah kering dan layu. Jika terus begini, pasti kampung kita musnah.
Pada suatu hari, Hugo balik ke Kampung Katek untuk mengambil barang-barangnya ynag tertinggal.
Hugo :
Eh! Apa yang berlaku di kampung ini? Semua tanaman musnah. Binatang pun sudah mati. Kasihan sungguh orang-orang kampung.
Hugo berasa sedih dan air matanya mula membasahi pipinya. Beberapa titis jatuh ke bumbung rumah-rumah di situ. Orang kampung tidak tahu Hugo telah kembali. Mereka sangka hujan sudah turun. Mereka sangat gembira. Tiba-tiba…
Penghulu :
Kamu Hugo? Kenapa kamu menangis?
Hugo :
Pada mulanya saya sedih melihat kampung ini. Tetapi bila melihat orang kampung gembira, saya menangis kegembiraan.
Penghulu :
Kamu memang baik hati. Maafkanlah kami. Mulai sekarang kamu tinggallah di sini.
Orang-orang kampung yang lain bersorak tanda setuju. Hugo kini sangat bahagia.